Pada suatu hari, seekor anjing yang kelaparan merayau-rayau di sebuah lorong untuk mencari makanan. Akhirnya ia berjumpa seketul tulang didalam sebuah tong sampah. Anjing itu terus menggonggong tulang itu dan berlari menuju ke rumahnya. Dalam perjalanan anjing itu melalui sebuah jambatan di atas sebatang anak sungai. Sambil meniti jambatan, anjing itu terpandang bayang-bayangnya di permukaan sungai. Ia menyangka ada seekor anjing lain dengan seketul tulang. Perasaan tamak mula menguasai dirinya. Anjing itu ingin mendapatkan 'tulang' daripada 'anjing' itu. Tanpa berfikir panjang, ia pun menyalak. Sebaik saja ia membuka mulutnya untuk menyalak, tulang yang digonggongnya pun jatuh ke dalam sungai. Anjing itu menyesal kerana tulang yang dijumpainya tadi terjatuh ke dalam sungai disebabkan sifat tamaknya.
MORAL & IKTIBAR
Sifat tamak adalah sifat mazmumah yang dicela Allah
Orang yang telah dikuasai sifat tamak selalunya akan menghalalkan apa cara saja asalkan apa yang dikehendakinya itu boleh diperolehinya; tanpa mengambil kira halal atau haram.
Orang yang bersifat tamak mengumpulkan harta dan wang ringgit biasanya tidak akan berhenti dari melonggokkannya selagi dia tidak diikat dengan kain kapan di kaki dan kepalanya (mati).
Sifat zuhud (memada apa yang ada) adalah sifat terpuji yang perlu dibentuk dalam diri kita
Orang tamak sentiasa dalam keadaan miskin walaupun sudah kaya-raya. Sebaliknya orang zuhud adalah pada hakikatnya kaya kerana mereka tidak memerlukan apa-apa lagi.
Manusia yang tamak jika diberikan segunung emas akan berusaha untuk mendapatkan gunungan emas yang lain. Mereka akan berhenti mencari kekayaan hanya apabila dimatikan.
Sinario yang berlaku di negara kita dewasa ini adalah contoh angkara sifat tamak manusia yang ingin mengumpulkan harta dunia untuk diri dan kroni sehingga menghalalkan nepotisma dan kronisma; malahan sanggup melakukan pembohongan terbesar serta kezaliman yang tiada tandingannya di zaman ini. Mereka menghalalkan apa jua cara, menyalahgunakan segala kuasa yang ada sehingga sanggup membutakan mata, memekakkan telinga, mempetrikan hati, menjerebukan fikiran serta berlaku ganas menahan/menyeksa orang yang dianggap sebagai penghalang kepada nafsu rakusnya. Inilah Firaun dan Qarun Zaman Multimedia Super Corridor.
Amaran Nabi: Apabila mencecah umur 40-an tapi kejahatannya masih melebihi kebaikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk masuk ke neraka.
عين ازال للعطورات
3 years ago
0 comments:
Post a Comment